Thursday, May 22, 2014

Kenangan Waktu Senja

* Sedar tak sedar sudah 1 tahun setengah aku meninggalkan alam perkuliahan aku di UMP. Sudah hampir 7 bulan lamanya sejak hari terakhir aku bergelar graduan dari universiti yang berazam untuk menjadi IPT peneraju dalam bidang kejuruteraan & teknologi di Malaysia. Walaupun sudah agak sekian lama aku meninggalkan universiti ini, tapi terus terang hatiku tetap lagi menyimpan 1001 memori indah pada universiti ini.

* Cerita dibawah ini ditujukan kepada bekas-bekas mahasiswa & mahasiswi yang pernah menuntut di Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebelum ini. Harap-harap cerita di bawah ini sedikit-sebanyak dapat membawa kenangan manis semasa belajar kepada anda semua :)

*Pengalaman penulis belajar di UMP (Jun 2009 - Jan 2013)

Gambar candid yg diambil semasa minggu pertama orientasi kami (Julai 2009); jurusan Kimia Industri (Bsc.)


Hari Ketibaan Sang Fresher

Masih lagi aku ingat hari pendaftaran pertama semasa aku baru sampai di UMP. Pada hari itu aku ditemani oleh keluarga dengan menaiki kereta pick-up Ford kami & habis barang-barang aku dibuang di belakang kereta. Habis disaluti dengan tanah bagasi-bagasi yang aku bawa kerana kereta itu sentiasa ayahku bawa untuk pergi berkebun. Selepas selesai menyerahkan borang-borang di Blok W, aku kemudiannya disuruh untuk menaiki bas yang disediakan untuk pergi ke hostel. Dengan perkakas serta pakaian yang bertimbun banyaknya aku memecut turun laju ke simpang menuju ke blok bangunan di bawah dengan harapan agar dapat menangkap bas yang bergerak tadi.

Permandangan depan hostel KK1 & KK3 yg sempoi (Julai 2009)

Setelah sampai aku terpelik melihat keadaan yang sunyi & hening di hostel tersebut. Lalu aku pun masuk ke dalam sebuah kedai runcit yang jelas kelihatan di salah satu penjuru bangunan tersebut. Aku lihat nama kedai tersebut; tertera perkataan "Ina Shoppe". Aku masih ingat lagi muka cuak aku kerana tidak nampak satu kelibat pelajar pun di situ. Dengan menahan perasaan takut & cuak aku bertanyakan akak yang bertugas di Ina Shoppe & dengan sportingnya akak itu membawa aku ke bahagian belakang kedai tersebut yang kebetulan juga merupakan sebahagian daripada kawasan hostel. Pusing punya pusing rupa-rupanya baru aku tahu yang blok KK2 masih terletak jauh ke bahagian belakang kawasan UMP. Dengan muka tahan malu aku berterima kasih kepada akak itu & terus memecut ke KK2.

Permandangan hostel KK2 dari jalan luar (Ogos 2009)


Zaman Tahun Percubaan (Tahun Pertama) 

Zaman tahun pertama aku penuh dengan peristiwa-peristiwa lucu & menggelikan hati. Beberapa minggu pertama sesi perkuliahan pakaian aku ke kelas adalah standard jenis baju & seluar kemeja, berkasut hitam ala kulit (sebenarnya PVC). Lihat saja pada pakaian nescaya sudah tahu pelajar itu golongan fresher atau tidak. Disebabkan jarak antara hostel & kelas yang boleh tahan jauh, maka basikal lah teman sejati aku ketika itu. Pada waktu itu bukan main seronoknya aku menunggang basikal. Masih lagi ku ingat waktu aku menggayakan "Superman" ketika menunggang basikal balik dari makmal ke KK2 pada waktu malam. Pada masa itu tiang lampu TNB di jalan luar KK2 masih lagi belum dipasang, semuanya gelap gelita. Perjalanan dari KK2 ke KK3 ditemani dengan bunyi nyanyian Sang Katak yang rindukan hujan.

Masih juga aku ingat pengalaman pertama aku mengambil ujian pada waktu malam, subjek Kalkulus. Bukan main rajin lagi aku menelaah pelajaran dari pagi hingga ke petang. Pada saat aku membuka kertas soalan sewaktu ujian malam itu fikiran aku terus menjadi kosong. Hilang terus segala formula-formula yang aku hafal pagi tadi. Panik juga aku dibuatnya. Tapi nasib baik lulus juga subjek malam itu.

Waktu senja di rumah kediaman C11, KK2 (September 2009)


Rumah persinggahan pertama (KK2) 

KK2, rumah bernombor C11 merupakan hostel penginapan aku yang pertama di UMP. Pada masa itu seluruh blok B hingga ke blok K dipenuhi dengan kenderaan pengangkutan. Boleh aku katakan 90% daripadanya adalah basikal, hanya blok Senior di belakang sahaja kelihatan kereta-kereta yang cantik berkilat. Lapar pada waktu malam bukan masalah besar bagi kami sebagai penghuni KK2. Setiap malam antara pukul 9p.m sehingga 11p.m akan kedengaran suara yang memecah kesunyian malam; "Hot Dog seringgit!, Hot Dog seringgit!" yang sentiasa menceriakan pelajar-pelajar yang sedang memerah otak menyiapkan assignment masing-masing.

Aku merupakan salah seorang warga Kuantan yang belajar di UMP pada ketika itu. Walaupun begitu cukup jarang untuk aku pulang ke rumah walaupun jarak antara Gambang ke Kuantan hanya dalam 40 minit perjalanan kereta. Pada masa itu masih belum ada lagi Rapid Kuantan. Yang ada singgah ke dalam bus stop UMP pun hanyalah bas Rahmat Alam & bas UMP sendiri. Perkhidmatan bas UMP & Rahmat Alam hanya berfungsi pada hari Sabtu & Ahad. Kalau hendak ke bandar kami hanya ada 2 pilihan; samaada menyewa kereta Senior atau jalan kaki ke stesen bas berdekatan dengan Caltex simpang Gambang, jaraknya memang fuuuhhhh!

Jumlah basikal yg boleh mengalahkan IPTA & IPTS di Malaysia (Julai 2009)

Hostel KK2 kalau dilihat dari luar sama seperti taman perumahan rumah teres. Ini disebabkan UMP menyewa rumah-rumah di situ untuk dijadikan rumah kediaman bagi pelajar-pelajar. Pada waktu aku menetap disitu, makanan di KK2 lah yang paling enak & best di dalam banyak-banyak kafe dalam kawasan universiti. Keenakannya sampai lecturer dari Blok W pun sanggup turun untuk membungkus makanan di situ (hehe). Masa itu internet KK2 pun boleh tahan punya laju, password untuk WIFI TMnet juga bukan lagi satu rahsia untuk semua penghuni yang menetap di KK2.

Permandangan dari cafe KK2 ke arah padang terbiar pada waktu petang (November 2009)


Hostel seberang Highway (KK4)

Sedar-sedar sahaja tahun pengajian pertama aku di UMP sudah berlalu. Masanya sudah tiba untuk aku & penghuni-penghuni KK2 yang lain mengisi borang permohonan kolej kediaman untuk tahun ke-2. Tanya sahaja pelajar yang pernah mendiami KK2, aku boleh katakan hampir kesemuanya tidak mahu berpindah ke kolej kediaman yang lain selepas tinggal di situ (mungkin sebab faktor makanan). Aku & kawan-kawan serumah aku dengan penuh konfiden berlari ke Ofis pendaftaran KK2 & menghantar borang tersebut. Kami fikir sudah semestinya kami akan berjaya mendapat hostel di KK2 lagi kerana kami merupakan antara golongan yang paling awal menghantar borang tersebut. Last-last selepas keputusan diumumkan kami tergamam sebentar kerana kami dihantar untuk mendiami kolej kediaman yang tak pernah kami sangka-sangkakan; KK4.

Pelangi muncul selepas hujan di belakang bangunan pentadbiran UMP (Ogos 2010)

Pada waktu itu aku menetap di Blok B, KK4. Salah satu kebaikan menetap di sini ialah tidak ada sistem curfew ketat yang mewajibkan pelajar untuk pulang ke hostel tepat pada pukul 12.00 a.m. Bilik aku terletak pada tingkat paling atas sekali bangunan & tingkapnya menghadap terus ke Ladang Kelapa Sawit milik Dato' Franky. Untuk student yang ada tabiat tidur petang memang terasa seperti dipanggang kalau tidur di sini. Jadi sebagai salah seorang student yang ada tabiat sebegini maka aku sentiasa mencari port paling sesuai & selesa, tak lain tak bukan perpustakaan UMP yang 24 jam berhawa dingin.

Tanya sahaja penghuni KK4 tentang katil keranda, nescaya semuanya akan tersenyum kambing. Papan kayu yang digunakan sebagai alas untuk meletakan tilam dibuat daripada kayu yang rapuh & mudah patah. Jadi setiap kali kami hendak baring, maka perlulah kami lakukan dengan slow-motion. Sebarang pergerakan yang pantas serta mengejut akan menyebabkan papan kayu penyokong tilam patah... maka tidurlah pelajar tersebut dalam ruang kosong dibawah tilam itu, seperti dalam keranda.

Permandangan dari bilik KK4 menghadap ke ladang kelapa sawit (Julai 2010)


Aktiviti sewaktu belajar

Aku merupakan pelajar yang boleh tahan aktif kerana minat aku adalah sentiasa berjalan ke hulu & ke hilir. Sewaktu tempoh aku belajar di UMP aku sempat menyertai beberapa program di UMP. Antaranya ialah pernah menjadi tutor sambilan untuk program Bahasa Melayu for International Student (BMfIS) pada tahun 2011 & 2012. Program ini sebenarnya adalah hasil kerjasama UMP dengan Northern Illinois Universiti (NIU) dari Dekalb, Amerika. Kerja aku sepanjangan menjadi tutor sambilan adalah untuk menggilapkan lagi skill permahaman Bahasa Melayu pelajar-pelajar dari NIU. Kerjanya boleh tahan juga punya stress kerana material pembelajaran untuk pelajar-pelajar ini perlu aku sahkan dengan Penasihat program yang juga merupakan professor dari universiti tersebut. Jadi hampir tiap-tiap hari sepanjang tempoh 6 minggu pengajaran aku perlu bangun pada pukul 5.00 a.m untuk memastikan diri aku benar-benar sedia untuk mengajar. Tapi penat letih mengajar memang berbaloi disebabkan aku dapat memahami budaya masyarakat Amerika dengan lebih dekat & jelas lagi.

Sesi BMfIS tahun 2012 bersama Derek & Matt (Julai 2012)

Sesi BMfIS tahun 2011 semasa majlis perasmian program (Julai 2011)

Menerjah pasar pagi di Pekan bersama Ryan (Julai 2011)

Selain itu aku juga bergiat aktif dalam sukan Ten Pin Boling. Pernahlah juga aku merasa pengalaman mewakili UMP ke MASUM tahun 2010, 2011, Open IPT Challenge & SUKIPT 2012 walaupun pencapaian aku tak sehebat atlit-atlit yang lain.

Bersama geng Ten Pin Boling UMP semasa SUKIPT 2012 di Sunway Pyramid (Oktober 2012)

Bersama Afiq, Kuchai & Zarul serta mamat tak dikenali (di belakang) yg mengambil peluang bergambar semasa Open IPT Challenge di MIBC, Melaka (November 2011)


Pengalaman belajar sebagai mahasiswa jurusan Kimia Industri

Semasa kaki aku baru sahaja memijak kelas pada hari pertama aku belajar di UMP, terus terang aku katakan aku kurang pasti tentang apa yang aku belajar dalam jurusan ini. Lama-kelamaan baru aku sedar yang modul pembelajaran dalam jurusan ini menekankan kepada konsep analisis kimia dimana kebanyakan waktu praktikal di makmal adalah dengan pendedahan instrument analysis seperti GC, HPLC, FTIR & macam-macam lagi kepada pelajar. Tapi sebagai satu jurusan yang masih lagi baru & fresh di UMP sudah tentunya terdapat sedikit kelemahan. Antaranya adalah jumlah instrument yang terhad yang membuatkan ramai pelajar yang hanya menjadi Tukang lihat & pantau termasuklah diri aku sendiri. Tetapi dengan penubuhan makmal berpusat baru-baru ini aku percaya masalah ini sudah sedikit sebanyak diperbaiki. 

Bergaya dengan safety goggle yang baru dibeli dari makmal bersama Leong (Februari 2010)

Berpakaian ala-Yemen bersama Mohammed semasa Expoconvo 2009, salah seorang teman karib dari Yemen yang belajar dalam jurusan yang sama (Oktober 2009)

Berbuka puasa beramai-ramai di surau UMP (Ogos 2009)

Berehat di Air Terjun Sg. Padan berdekatan UMP untuk menghilangkan stress belajar (Januari 2010)

Muka keletihan selepas tamat majlis malam Tahun Baru Cina UMP di Restoran Mexica Garden (Mac 2010)

Bergambar dengan awek Jepun semasa dalam program penyelidikan ARW selama 2 minggu di Narita & Tokyo (Disember 2010)

Amaran! gambar di atas hanyalah lakonan semata-mata & tidak berkaitan dgn si hidup ataupun yang telah mati.. hehe


Tahun akhir pengajian sebelum perpisahan

Zup zap zup zap, sedar-sedar sudah habis 3 tahun setengah aku belajar di UMP. Antara perkara yang paling stress semasa zaman aku belajar di UMP adalah semasa menyiapkan tugasan Final Year Project, tapi nasib agak menyebelahi aku kerana tajuk yang aku pilih agak senang difahami & aku juga disupervised-kan oleh seorang Dr. yang berkaliber serta 2 orang pelajar Master & phD beliau yang sanggup membantu aku sentiasa. Masih aku ingat akan Kak Irma yang sanggup meminjamkan aku ruang meja makmal beliau kerana aku terpaksa menjalankan FYP sehingga larut malam di dalam makmal postgrad & juga kesudian Kak Irir dalam menolong aku menganalisa sampel biodiesel menggunakan GC sehingga ke malam hari. Aku memang berhutang budi dengan mereka semua. 

Gambar terakhir yang aku ambil bersama rakan sekelas sebelum tamat pengajian (September 2012)

Tiba lah di saat terakhir sebelum kami semua berpisah. Bak kata orang setiap permulaan akan diakhiri juga dengan perpisahan. Dalam kesibukan menyiapkan assignment & tugasan seharian tanpa aku sedari hari terakhir aku di UMP sudah pun tiba. Sudah tiba pula masa untuk aku & rakan-rakan sekelas memasuki alam baru yang mungkin lebih mencabar, tapi kenangan pada hari lepas akan tersemat jua dalam hati aku sampai bila-bila masa. 

Semoga kesemuanya mendapat berkat & rezeki yang melimpah dalam meneruskan perjuangan hidup masing-masing, sama ada dalam pekerjaan mahu pun pendidikan dan juga yang telah mendirikan rumah tangga :)

  

- Tamat -